PERMATA TINTA
Ilmu Cahaya Hidup.. Bekalan Menuju Masa Depan..
Sabtu, 20 Disember 2014
Khamis, 18 Disember 2014
Anak Soleh
Sekalung Tahniah.. |
Ketabahan memerlukan keyakinan, keyakinan menentukan kejayaan dan kejayaan menentukan kebahagiaan..
Rabu, 10 Disember 2014
.:: KISAH JURAIJ DAN IBUNYA ::.
Satu masa lalu terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat.
Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”
Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”
Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.
Pada keesokan hari ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat.
Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”
Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”
Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.
Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”
Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”
Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.
Lantas ibunya berdoa: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”
Sejak saat itu kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: “Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.”
Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya. Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: “Ini adalah anak Juraij.”
Maka orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya:
“Kenapakah kalian melakukan semua ini?”
Mereka menjawab: “Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!”
Juraij bertanya: “Di manakah anak tersebut?”
Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: “Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.”
Maka Juraij bersolat. Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya: “Wahai bayi, siapakah ayah kamu?”
Bayi itu menjawab: “Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”
Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: “Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.”
Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”
Demikian sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, hadis no: 2550.
Tujuan saya mengemukakan hadis di atas bukan untuk menganjurkan ibadah di biara, kerana itu hanya khusus kepada syariat umat terdahulu dan bukan kepada kita, umat Muhammad. Bagi kita, keluar ke khalayak masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan dan menegah daripada kemungkaran adalah lebih utama.
Tujuannya juga bukan untuk membicarakan fenomena bayi yang dapat bercakap ketika masih di buaian, ia adalah karamah yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih demi sesuatu maslahat yang dikehendaki-Nya. Tujuan saya ialah bagi menerangkan bahawa antara solat dan ibu, ibu memiliki kepentingan yang lebih tinggi di dalam neraca Islam. Ini kerana berbuat baik kepada ibu – sekalipun sekadar menyahut panggilannya – adalah ibadah sebagaimana mendirikan solat adalah ibadah. Di antara dua ibadah ini, berbuat baik kepada ibu adalah lebih utama.
Namun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu solat. Dia tetap solat, hanya waktu solatnya disesuaikan dengan kewajipan berbuat baik kepada ibu. Sebagai contoh dalam kes di atas, Juraij hanya perlu menyahut panggilan ibu dan memenuhi hajatnya, lalu setelah itu menyambung kembali solatnya. Bagi menguatkan kedudukan ibu di dalam neraca Islam, berikut saya kemukakan sebuah lagi perbandingan.
Sama-sama kita ketahui bahawa turun ke medan jihad bagi memerangi musuh dan menegakkan Islam adalah amalan yang utama lagi penting. Akan tetapi adakah ia lebih utama dan penting daripada berbuat baik kepada ibu? Pada zaman Rasulullah s.a.w., seorang sahabat bernama Jahimah r.a. datang menemui baginda meminta pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad.
Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”
Jahimah menjawab: “Ya.”
Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” [Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104]
Di samping kita memperhatikan kepentingan berbuat baik kepada ibu, tidaklah bermakna kita mengabaikan ayah. Islam tetap menekankan berbuat baik kepada ibu dan ayah. Hanya jika dibandingkan antara kedua-duanya, maka berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali lebih penting berbanding berbuat baik kepada ayah.
Dalam sebuah hadis yang saya yakin para pembaca sekalian pernah mendengarnya, seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5971]
Jika dikaji kesemua hadis-hadis di atas, akan didapati bahawa kepentingan berbuat baik kepada ibu berlaku sepanjang masa. Ia tidak terhad kepada hari tertentu sahaja. Maka pastikan dalam aktiviti harian, mingguan, bulanan dan tahunan, diselitkan agenda berbuat baik kepada ibu sekalipun sekadar menalifonnya, menghantar emel, pesanan ringkas atau surat.
Isnin, 8 Disember 2014
‘… Perasaan ditemani Allah merupakan penghibur
dalam kesepian, pelindung dalam ketakutan, perencah keamanan diri,
pencorak keceriaan jiwa, penawar segala duka, peneman dikala senang dan
payah..’
Hati
terdetik diketuk rasa rindu padaNya, kerana cinta padaNya, hati redha
menerima segala ketentuanNya.. Itulah erti tawakkal yang sebenar.
Hiasi nurani diri dengan amal ibadah dan munajat kepadaNya..
Semoga rahmatNya sentiasa bersama.. Amin
Langgan:
Catatan (Atom)